Friday, July 9, 2010

MEMBURU CINTA FATAMORGANA…

Hasil nukilan ustaz pahrol....

kali ini izinkan saya menulis tentang cinta orang tua. Mungkin ini berguna bukan hanya untuk orang tua, tetapi juga orang muda. Sejak kebelakangan ini terasa benar usia telah senja. Ketika melihat dan mengurut badan ayah yang telah tua baru-baru ini, saya mudah letih.

Barulah saya sedari bahawa yang mengurut (saya sendiri) rupa-rupanya telah tua. Ya Allah, semakin tawar kemanisan dunia di lidah, mata, telinga dan seluruh panca indera ku. Jemputan untuk pulang mula mengimbau…


Inilah hakikat dunia. Yang halalnya dihisab, yang haramnya diazab. Segalanya bagaikan fatamorgana jika tidak dijadikan ibadah dan dijadikan alat untuk meraih taqwa. Kemanisannya… sebentar cuma.


Bagaikan semalam keremajaan ku yang telah berlalu. Bagaikan sedetik keindahan yang diburu dulu. Ya Allah, kurniakan kami hati yang mudah dibawa kepada MU. Jangan bebankan kami lagi dengan ujian keindahan-keindahan fatamorgana yang telapun menipu kami berulang-ulang kali.


Ya Allah kami menyerah pasrah. Jangan dibiarkan pengawasan dan pemantauan diri ini kepada diri kami sendiri. Jangan, jangan walaupun sekelip mata wahai yang Maha Pengasih. Mungkin tulisan ini akan lebih lama bertahan daripada penulisnya. Entah yang dibaca lebih lama berkekalan daripada pembacanya.


Namun, detik yang ada ini aku ingin berkongsi rasa. Rasa yang datang daripada melihat dan mendengar… Janganlah hendaknya kita MEMBURU CINTA FATAMORGANA...


Kecuali mati dan tua, itu sahaja yang tidak boleh dielakkan oleh manusia. Keduanya pasti datang dalam hidup kita. Semua manusia pasti mati. Tetapi tidak semua manusia berkesempatan mencecah usia tua. Jika dilihat kepada jumlah keseluruhan manusia di dunia, ramai yang muda daripada yang tua. Itu petanda apa? Ya, ramai yang tidak sempat tua, masih muda tetapi sudah mati. Jadi kalau kita sempat tua, bersyukurlah, Allah telah mengurniakan kita nikmat yang jarang diberikan kepada manusia lain.


Walaupun tua, kita tetap punya hati. Dan selagi kita punya hati, selagi itulah ada cinta. Dalam satu hati tidak boleh ada dua cinta, setua mana pun kita pasti ada satu cinta yang bersemi dan mendominasi di dalam hati. Apakah cinta yang seharusnya ada di dalam hati wanita atau lelaki tua? Tentulah cinta Allah. Sebab semakin tua ertinya semakin dekat perjalanan kita menuju Allah. Kematian itu ertinya pulang menemui Allah. Dan itu juga pulang menemui cintanya yang sejati dan abadi.


Justeru, apabila usia telah tua, semua nikmat yang bersifat lahiriah dan fizikal mula dicabut sedikit demi sedikit dan secara beransur-ansur. Nikmat makan, nikmat sihat, nikmat tidur, nikmat melakukan hubungan seks dan lain-lain lagi menjadi semakin menurun. Walaupun cuba dipertahankan dengan ubat, makanan tambahan, rawatan, senaman dan usaha-usaha yang lain, tua tidak dapat dielakkan. Ia hanya dapat diperlahankan. Ini sunnatullah yang tidak dapat diubah-ubah.


Mengapa Allah takdirkan begitu? Tentu ada hikmahnya. Segala kemanisan dan kelazatan dunia mula dicabut perlahan-lahan menjelang usia tua agar manusia beransur-ansur beralih kepada kelazatan rohaniah pada episod-episod terakhirnya dalam hidup. Seolah-olah manusia ‘dipaksa’ menumpukan fokus hatinya untuk mencintai Allah. Semua ‘kesayangan’ kita sudah diambil, maka usah berpaling lagi daripada Allah. Rebut dan nikmati cinta-Nya sebagai bekalan di akhirat nanti.


Apabila kelazatan dunia semakin hambar dan tawar, itu petanda detik berpindah ke akhirat sudah dekat. Sediakan bekalan dengan cepat!


Inilah sudut pandang yang patut ada di dalam setiap hati orang tua. Kita segala-galanya menjauh, datanglah mendekat kepada Allah. Kau tidak ada apa-apa lagi, kuatkan pecutan hati mu menuju Ilahi. Jangan dilalaikan lagi oleh cinta-cinta yang lain.


Namun malang sekali kalau di usia senja masih memburu cinta fatamorgana. Ada yang kembali memburu cinta yang tidak sampai pada usia mudanya dahulu. Sudah beranak, telah bercucu, tetapi hatinya si datuk dan si nenek ini kembali mengimbau nostalgia cinta hampa pada zaman remaja. Dulu kononnya terpisah kerana berbeza darjat, disekat oleh orang tua, berpindah tempat dan sebagainya… lalu masing-masing bertemu dengan jodoh masing-masing. Bercinta, berkahwin, beranak dan bercucu.


Tiba-tiba kekasih lama muncul semula. Mungkin menerusi pertemuan yang tidak disangka dan dijangka. Atau setelah bersungguh-sungguh ‘search’ lewat laman sosial Face Book, Twitter dan sebagainya. Dan cinta berbunga kembali. Uban di kepala si datuk dilihat bagaikan mahkota oleh si nenek. Kedutan wajah si nenek dilihat manis dan memikat oleh si datuk. Lalu berlakulah antara mereka hubungan cinta terlarang. Keduanya jadi mabuk cinta dan ada yang terjerumus ke lembah cinta yang curang dan haram.


Cucu-cucu tidak dihiraukan lagi. Anak-anak terpinggir. Ini semua gara-gara memburu cinta fatamorgana pada usia senja. Nostalgia lama diputar kembali untuk membuahkan realiti masa kini yang penuh cinta. Nenek dan datuk jadi asyik maksyuk. Ah, malu sekali bila mereka mengambil kesempatan ‘berdating’ sewaktu sama-sama menghantar cucu di sekolah atau berbalas-balas pesanan ringkas (sms) secara maraton di tengah malam atau menjelang dinihari.

Sungguh bijak syaitan menipu. Angkara dan strateginya tidak pernah berhenti. Sentiasa kaya dengan inovasi dan kreativiti. Hanya bermodalkan cinta yang ‘dikitar semula’ dia masih memburu untuk menyesatkan manusia. Mata si datuk yang seharusnya sudah merasakan kesejukan wuduk dan ketenangan solat, sudah dilekakan untuk mengerling si nenek kekasih lamanya. Masa untuk menatap al Quran semakin luput apabila asyik berpaut di skrin telefon bimbit untuk membaca ‘ayat-ayat’ cinta yang masih berbisa.


Ini bukan cerita yang diada-adakan. Tetapi cerita yang benar-benar berlaku bahana cinta sumbang pada usia senja. Cucu-cu jadi resah. Anak-anak menggelengkan kepala. Namun, nenek atau datuk ini, tidak menyedarinya atau telah sedar, tetapi kerana cinta semuanya tidak dipedulikan lagi. Memang cinta itu buta… bukan sahaja pada remaja yang matanya masih terang, tetapi juga untuk si tua yang matanya hampir buta!


Dunia menipu. Cinta memperdaya. Apa yang dilihat indah hanyalah umpama fatamorgana. Panas yang membahang disangka air. Lalu kita berebut-rebut mengejarnya. Nampak indah dari jauh, tetapi bila didekati kosong makna, kontang rasa. Begitulah cinta terlarang pada usia senja.


Pada yang mendapatnya (tentu sahaja terpaksa membeli dengan harga yang mahal – yakni dengan meninggalkan isteri, anak-anak dan cucu-cucu), terasa sia-sia. Ah, pesona cinta tetap sama. Jika diburu berdasarkan nafsu percayalah… selagi belum dapat memang indah, tetapi bila sudah dapat, segala-galanya akan pudar. Apa yang diburu akan menjemukan bila sudah dalam genggaman.


Bila terjadi demikian hendak berpatah balik? Ah, air tempayan sudah dicurahkan tetapi guruh yang kedengaran berdentam-dentum sebelumnya, tidak langsung menurunkan hujan seperti yang dijangkakan. Pada waktu itulah jiwa yang lara akan menyebabkan diri menjadi lebih tua daripada sebelumnya. Kaki yang menggeletar yang tidak dirasakan dulu (semasa dilamun cinta) jadi tambah kronik. Langkah jadi capik. Semuanya menjadi kendur dan luntur semula. Paras cinta menurun, paras gula dan kolesterol yang sedia ada pula naik memuncak.


Pada yang muda jangan tersenyum. Ini bukan cerita mereka yang telah tua sahaja tetapi juga untuk anda yang muda. Ingat, kebaikan yang mampu kita lakukan pada usia tua hanyalah momentum yang dibina sejak usia muda. Dan begitulah dengan kejahatan. Siapa yang rajin beramal ibadah sewaktu muda, kerap-kali akan mewarisi tabiat yang baik itu apabila telah tua. Jadi rajinlah dan istiqamahlah dengan membuat kebaikan, mengerjakan solat, membaca al Quran sekarang, agar hati itu terisi… bukan sahaja kini tetapi nanti. Jangan ‘disantau’ oleh cinta fatamorgana pada usia tua.


Bagi remaja yang asyik memburu cinta terlarang sekarang ini, beringat-ingatlah. Jangan kita terpaksa memburu cinta palsu hingga ke akhir hayat. Kita akan diletihkan, ditipu dan dihancurkan oleh cinta itu berkali-kali. Usia muda terbuang, usia tua tersia-sia. Jangan begitu, orang mukmin tidak akan jatuh dalam lubang sama dua kali. Jika anda terus dibuai cinta palsu dan konon ‘bahagia’ dengan itu, insya-Allah anda akan disengat bisa cinta fatamorgana dua kali. Syaitan akan menggunakan senjata yang sama untuk memperdayakan kita kerana di situlah kelemahan yang kita suburkan sejak pada usia remaja lagi. Manusia tidak akan lebih memburu cinta. Itu hakikatnya. Alangkah malangnya jika yang diburu tanpa jemu itu hanya kebatilan?


Jika ditanya, mengapa ada cinta yang sehodoh dan sebodoh ini? Jawabnya mudah, cinta itu mengikut keadaan hati seseorang. Lebah akan menyeri sari pati bunga. Lalat akan menghurung bangkai. Jika hati itu terisi dengan cinta Allah, ia akan mencari dan memburu kebaikan. Tetapi jika hati itu terbiar kosong atau terisi oleh kebatilan, maka ia akan memburu kejahatan.


‘Retua’ yang memburu cinta terlarang adalah mereka yang kosong jiwanya. Di dalam hatinya belum ada kemanisan iman. Lalu ia mencari dan terus mencari. Allah tidak mengumpulkan dua cinta dalam satu hati. Akhirnya kekosongan itu diisi oleh cinta palsu. Bila makanan yang lazat tidak lagi memberangsangkan, bila tidur sudah diganggu insomnia, bila rangsangan naluri seksual tidak bergetar lagi, hati yang kosong akan bertambah kosong. Sunyi, sepi, sayup-sayup ada suara yang berdetak di hati, “ah, rumah kata pergi, kubur kata mari…”


Ah, tidak sudi dia ke sana. Takut dan benci mati. Lalu dalam keadaan terpinga-pinga syaitan membisikkan cinta lama. Ke sana kau, burulah kebahagiaan itu selagi usia masih ada! Lalu dengan mata yang kabur, uban yang bertabur dan tenaga yang sudah mengendur itulah si tua terus memburu cinta dengan keinginan yang membara dan menyala-nyala. Tanpa disedari yang diburunya itu hanyalah tipuan syaitan pada minit-minit terakhir dalam hidupnya!


Bila usia telah tua… ertinya Allah telah memanggil. Bersedialah untuk pergi. Pergi bukan untuk berpisah tetapi untuk bertemu-Nya. Di sana ada cinta yang lebih bahagia dan lebih sempurna. Jangan terkesima lagi dengan cinta fatamorgana!


Antara dua cinta


Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
Baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman


Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fata morgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang


Tuhan, leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hati ku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta


Hanya cinta Mu yang ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang ku bunuh

No comments:

Related Posts with Thumbnails