Wednesday, July 7, 2010

PM perturun petua didik anak

KEPALA BATAS 20 Mei –

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menurunkan petua tersendiri kepada golongan ibu bapa dalam mendidik anak anak yang masih kecil supaya tidak terlalu menyekat anak-anak dengan pelbagai pantang larang yang dikhuatiri merencatkan proses pembesaran semula jadi kanak-kanak.

Sambil menyuarakan kebimbangan mengenai sikap sesetengah ibu bapa itu,
Perdana Menteri berkata, anak-anak tidak perlu dihalang melakukan perkara
yang mereka gemari seperti bermain di tempat yang mereka suka memandangkan ia adalah sebahagian daripada proses untuk mereka belajar mengenai kehidupan.

Oleh itu, katanya, kerajaan menyokong program Setiap Anak Permata Negara (Per- mata) yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada pendidikan serta pembinaan sahsiah, kesuburan akal dan fikiran serta naluri kanak-kanak.

Beliau mahu program itu diperjelaskan kepada ibu bapa supaya matlamat pendidikan Permata dapat dicapai. ‘‘Dalam program ini, kaedah pendidikannya baik dalam semua aspek tetapi bila anak anak pulang ke rumah, ibu bapa menghalang perkembangan minda mereka dengan pelbagai pantang larang. Ini bercanggah dengan sifat kanak-kanak yang ingin tahu dan mencuba,” kata Abdullah ketika melancarkan Permata Kepala Batas di Kubang Menerong di sini.

Katanya: “Jangan jerkah atau tengking anak-anak apabila mereka bertanya atau melakukan kesalahan. Ikutlah cara yang disarankan Islam iaitu dengan menggunakan cara berhemah dan penuh kasih sayang apabila menegur anak-anak.

‘‘Ibu bapa janganlah banyak sangat pantang larang, kata itu tidak boleh, ini tidak boleh. Biasalah anak-anak mempunyai perasaan ingin ambil tahu dan kita janganlah jadi penghalang.”

Perdana Menteri berkata, walaupun anak- anak mempelajari banyak program pendidikan di pusat asuhan atau di sekolah, tetapi cara mereka berfikir banyak dipengaruhi oleh suasana dan persekitaran bersama keluarga dan rakan-rakan.
 
Beliau turut mengimbau kenangan anaknya, Datuk Kamaluddin sewaktu masih kecil dan berlari menangkap belalang di sawah ketika dibawa oleh bekas Setiausaha Politiknya, Allahyarham Datuk Abdul Fatah Abdullah sehingga ditegur isterinya, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood. ‘‘Allahyarham Fatah jawab, macam inilah saya membesar dengan Lah (Abdullah), macam inilah kehidupan kami sewaktu saya membesar.

‘‘Beginilah cara hidup orang kampung, tempat yang mengajar orang miskin untuk hidup, menghadapi segala kesukaran. Bagi budak-budak, mereka tidak memahaminya sekarang tetapi akan memahaminya suatu hari nanti.

‘‘Jadi peranan ibu bapa amat penting. Ayah yang tegur anak pun mesti melakukan dengan cara hormat, penuh kasih sayang, bukan dengan menengking atau menjerkah,” jelasnya.

Abdullah juga berkata, kanak-kanak di luar bandar perlu diberi peluang mendapat pendidikan awal yang berkualiti bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja bijak dalam bidang akademik, malah mempunyai sahsiah yang tinggi.

Bagi Perdana Menteri, segala peluang pendidikan yang terdapat di bandar perlu dibawa ke kawasan luar bandar bagi memastikan kanak-kanak di kawasan desa tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

‘‘Otak kanak-kanak di luar bandar bukannya kurang baik, cuma mereka perlu diberi peluang mendapat pendidikan yang baik. ‘‘Saya percaya jika anak-anak (di desa) diberikan pendidikan yang baik, insya-Allah mereka akan menjadi anak muda yang baik dan menjadi sebahagian daripada tenaga bangsa dan modal insan negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun mempunyai program pendidikan kanak-kanak yang dirangka dengan baik, Permata tidak akan berjaya tanpa sokongan ibu bapa yang merupakan guru pertama kepada kanak- kanak.

Abdullah berkata, sikap, perbuatan dan tutur kata ibu bapa akan menjadi ikutan anak anak.
 
-Utusan Malaysia: 21 Mei 2007-

No comments:

Related Posts with Thumbnails