Showing posts with label cerita anak2. Show all posts
Showing posts with label cerita anak2. Show all posts

Friday, October 1, 2010

Membentuk kemahiran membaca kanak-kanak

Kata orang bijak pandai, "Kunci untuk mendapat pengetahuan adalah daripada pembacaan dan penulisan." Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan kepada keluarga.
Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa. Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik.
Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi.
Ketika berusia 18 bulan, kanak-kanak sudah boleh diperkenalkan kemahiran membaca secara beransur-ansur. Unsur utama yang perlu diberi penekanan ialah kesedaran umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan penggunaannya dalam situasi seharian. Contohnya perkataan "mama" dan "papa".
Kedua-dua perkataan ini boleh ditulis dan diperkenalkan kepada kanak-kanak kerana kekerapan penggunaannya.
Apabila kanak-kanak meningkat usia 3 hingga 4 tahun, mereka sebenarnya berada dalam peringkat pembinaan bahasa yang pesat. Menurut para pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.
Period yang paling kritikal untuk memperkenalkan kemahiran membaca kepada kanak-kanak ialah 0 hingga 3 tahun. Ibu bapa atau guru yang bijak akan sensitif dengan perkembangan kanak-kanak pada masa ini kerana :
·         Umur 1 ½ hingga 3 tahun adalah peringkat yang paling sesuai untuk belajar dan mengingat maklumat. Kanak-kanak yang diberi kemahiran membaca pada peringkat usia ini akan menyerap jauh lebih banyak pengetahuan berbanding kanak-kanak yang tidak tahu membaca.
·         Semasa membaca, selalunya kita akan mengingat perkataan yang disebut serentak dengan perkataan yang bertulis. Begitulah juga kanak-kanak. Jika berusia 3 tahun dapat membaca, tentulah kemahiran membaca akan mempercepatkan proses pemahaman bahan bacaan yang dibacanya.
·         Kanak-kanak sangat lasak ketika berumur 2 hingga 3 tahun kerana mereka sangat dahagakan pengetahuan. Ibu bapa atau guru dapat mengesan perubahan ini dengan mengamati pertanyaan kanak-kanak seperti, "Ni apa?" atau "Apa tu?" Ujian menunjukkan kanak-kanak sejak dari umur 2 hingga 12 tahun bertanya sehingga 80 peratus daripada percakapan mereka. Apabila ke sekolah menengah, pertanyaan telah berkurangan sehingga 40 peratus.
Kanak-kanak belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah.
Sebabnya ialah kanak-kanak belajar membaca dengan senang hati dan memahaminya seperti mendengar orang bercakap manakala kanak-kanak di sekolah belajar membaca dengan perasaan takut dan membaca diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan.
Masalah yang menghalang minat membaca kanak-kanak.
Setiap ibu bapa dan guru sememangnya mengingini kanak-kanak yang dapat membaca dengan lancar dan cepat. Bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah, mereka tidak dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru disebabkan salah satunya kerana lemah keupayaan membaca. Antara masalah yang sering membantutkan proses pembahasaan dan pembacaan kanak-kanak dan para pelajar ialah :
·         Tidak dapat membezakan bentuk, kedudukan, nama, turutan abjad dan sebutan huruf yang dilihat.
·         Tidak dapat mengingat ciri dan atribut huruf.
·         Tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan.
·         Pengamatan penglihatan yang bercelaru apabila melihat perkataan tersusun rapi.
·         Tidak dapat membezakan bunyi huruf dalam ejaan kerana abjad tidak berkaitan langsung dengan sebutan.
·         Keliru dengan huruf seperti b dengan d, g dengan j dan j dengan z.
·         Tidak dapat bezakan simbol-simbol huruf.
·         Tidak dapat menterjemahkan bahasa baku kepada bahasa loghat untuk mengetahui tujuan dan maksud.
Kesan tidak tahu membaca.
Tidak tahu membaca akan memberi masalah. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka dewasa. Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan berjaya dalam hidup.
Pengaruhi minat belajar. Kesan yang agak ketara ialah dari aspek psikologi seperti rasa rendah diri, kurang yakin dan cepat mengalah.
Kajian yang dijalankan oleh Universiti Yale menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kepercayaan diri yang terhad tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah rendah dan situasi-situasi yang baru. Mereka juga sukar belajar menulis dan membaca berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang lain.
Tidak mahu belajar. Bagi mata pelajaran yang sukar seperti sains dan matematik, mempelajarinya adalah suatu bebanan. Lama-kelamaan timbul rasa jemu dan terus tidak lagi minat untuk belajar.
Bukan sahaja sains dan matematik tetapi mungkin semua mata pelajaran.
Belajar dalam keadaan tertekan dan tidak khusyuk. Tanpa kata-kata pujian dan rangsangan, proses belajar akan berada di bawah tekanan dan hilang keseronokan. Apa yang berlaku, kanak-kanak belajar kerana takut dan dipaksa bukannya kerana hendak belajar.
Kurang motivasi dan semangat berlumba-lumba. Apabila tidak dapat membaca dan memahami perkataan, keinginan untuk membaca perkataan-perkataan seterusnya akan menurun dan mengurang. Keadaan ini tentulah merugikan diri mereka sendiri dan ibu bapa terpaksalah memujuk supaya semangat dan minat untuk membaca dapat dipulihkan kembali.
Bagaimana kanak-kanak belajar membaca ?
Pelbagai kaedah yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari bahasa mengikut peringkat umur.
0 hingga 2 ½ tahun
·         mula mengetahui dan memahami bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapa ketika berusia 18 bulan.
·         belajar bahasa dengan mengumpul perkataan.
·         kaedah belajar ialah melalui rangsangan deria pendengaran secara langsung dan tidak langsung.
·         rangsangan membaca ialah memperkenalkan buku-buku yang mengandungi banyak gambar dan berwarna-warni.
·         kosa kata berkembang sehingga 270.
2 ½ hingga 4 ½ tahun
·         peringkat kritikal dalam proses belajar bahasa.
·         terbentuk satu unit bahasa dalam otak secara berasingan.
·         perkembangan bahasa akan membantu perkembangan mental dan sosial.
·         kanak-kanak belajar membaca dengan memperkenalkan huruf bersama gambar.
·         pada peringkat ini, kesediaan membaca masih belum terbentuk sepenuhnya dan ibu bapa harus bersabar semasa membimbing anak-anak mereka.
·         mampu mengingat sehingga 1500 kota kata.
4 ½ hingga 7 tahun
·         perkembangan otak memasuki fasa terakhir.
·         kanak-kanak sudah menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak perkataan dan suka bertanya serta melihat gambar.
·         corak pengajaran ialah mendedahkan kepada persekitaran seperti membezakan bunyi-bunyi binatang atau kenderaan; cara ini dapat melatih kanak-kanak meningkatkan daya pendengaran mereka.
·         mampu mengingat sehingga melebihi 4500 kosa kata.
Walau bagaimana pun sesetengah kanak-kanak masih belum dapat membaca biarpun umur semakin meningkat. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami tahap-tahap pengajaran bahasa yang betul.
Membantu kanak-kanak membaca.
Mengajar kanak-kanak berminat dengan membaca adalah sangat penting. Terdapat beberapa panduan yang mudah bagi melaksanakan usaha anda.
1.   Jadikan membaca satu tabiat. Jemput kanak-kanak membaca dengan anda setiap hari. Bantu anak anda membaca dari kiri ke kanan dan memahami setiap perkataan yang dikatakannya, dari satu perkataan ke satu perkataan.
2.  Bacakan buku yang sukai kanak-kanak berkali-kali. Mereka akan mempelajari perkataan baru dan mengingat cerita yang mereka sukai. Seterusnya akan diceritakan kepada rakan-rakannya pula.
3.  Bacakan cerita dengan rentak perkataan yang berkaitan dan ulang beberapa kali.Contohnya perkataan "terkejut." Tunjukkan bagaimana mimik muka dan nada suara "terkejut" kepada anak anda. Tunjukkan perkataan demi perkataan sepanjang sesi membaca berkenaan.
4.  Bincangkan perkataan baru dan buatkan mereka bermain-main dengan perkataan itu. Contohnya: Rumah yang besar ini adalah istana. Siapa yang kamu fikir akan tinggal di istana?
Jika ada gambar, tanya apa yang dilihat dan kaitannya dengan cerita berkenaan.
Bacakan buku yang mempunyai pelbagai jenis cerita kanak-kanak seperti kisah sirah nabi, kamus bergambar, puisi dan buku-buku bermaklumat yang bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak.

Sumber: Zahir Zainudin – i luv Islam.com

Anak Saya Kurang Berminat Buat Homework

Q.A:

Assalamualaikum Puan Jamilah. Saya inginkan tips untuk anak sulung saya yang baru masuk Darjah 1.
Kerja rumah (homework) merupakan satu kejutan budaya bagi dia. Dia sering main-main ketika membuat kerja rumah.
Kerja yang boleh siap dalam masa setengah jam, kadang-kadang mengambil masa sejam lebih sebab perhatiannya mudah terganggu dengan adik-adiknya yang bermain atau rasa susah nak siapkan tugasan yang bersifat tulis berulang-ulang.
Untuk makluman Puan, saya bekerja sendiri dan terlibat aktif dalam NGO.
Waktu kerja saya fleksibel tetapi adakalanya saya perlu keluar pada waktu malam untuk mesyuarat.
Mungkin Puan ada cadangan untuk saya agar saya dapat menyeimbangkan masa untuk anak saya yang masih lagi dalam tempoh meyesuaikan diri.
Terima kasih saya ucapkan atas respon Puan.
Jawapan
Waalaikumsalam Puan A. Terima kasih atas kiriman e-mel Puan.
Biasanya kanak-kanak mengambil masa untuk membiasakan diri menyiapkan kerja rumah. Ada banyak faktor terjadi demikian.
Tapi selalunya bila masuk Darjah Satu, tak biasa ada homework, tiba-tiba terpaksa buat.
Jadi saya setuju dengan Puan tentang tempoh menyesuaikan diri. Saya ada beberapa cadangan :
01. Kanak-kanak memerlukan struktur dalam kerja rumah.
Bagi kanak-kanak kecil seperti anak Puan, Puan digalakkan untuk memperuntukkan masa selama setengah jam atau 45 minit khas untuk memastikan anak Puan menyiapkan kerja rumahnya (Puan boleh mengurangkan masa tersebut jika ia terlalu lama untuk anak Puan).
Gangguan seperti televisyen perlu dielakkan 100%. Berikan tempoh masa itu satu nama yang menarik.
Contohnya dalam keluarga kami, ia dinamakan 'The Golden Hour.' Kami akan berkumpul bersama dan setiap orang akan mengulangkaji pelajaran atau membuat kerja rumah atau membaca buku dan lain-lain. 
Anak Puan boleh membuat kerja rumah sambil adik-adiknya main conteng-conteng atau membaca buku atau aktiviti lain yang berkaitan. Idea ini bertujuan untuk membuatkan dia berasa disokong dan tidak rasa terasing atau sunyi.  
02. Kanak-kanak akan merasa keberatan apabila yang diberi terlalu susah. Pastikan ini tidak berlaku kepada anak Puan.
03. Anak Puan adalah seorang lelaki. Anak lelaki sifatnya berbeza daripada anak perempuan.
Sampai satu tahap dalam kehidupan mereka, tahap hormon testosteron berada di kemuncak yang menyebabkan dia perlu banyak bergerak (physically active). 
Ini memang naluri kelelakian semulajadi. 
Sebenarnya, sangat sukar untuk seorang budak lelaki berusia tujuh tahun untuk duduk selama setengah jam terus-menerus.
Puan boleh cadangkan rehat lima minit selepas 30 minit membuat kerja contohnya. Kemudian teruskan lagi.
04. Tunjukkan minat terhadap apa yang dipelajarinya. Bincangkan apa yang dia belajar di sekolah termasuklah kerja rumah yang dibuatnya. Jadi, sekolah dan kemampuan menyiapkan kerja rumah menjadi sumber kebanggaan bagi dia.
05. Kanak-kanak amat responsif terhadap galakan atau encouragement. Elakkan diri puan dari mengkritik anak-anak. What gets noticed gets done. Jadi, cari peluang untuk memberi galakan kepadanya, sekecil mana sekalipun.
06. Jadikan aktiviti membuat homework sesuatu yang menyeronokkan. Anak puan masih kecil. Cari cara-cara kreatif supaya membuat kerja rumah adalah sesuatu yang menarik dan bukan sesuatu yang membosankan. Cuba kaitkan apa yang dia pelajari dengan kehidupan seharian.
07. Saya perlu meletakkan cadangan ini dalam point terakhir kerana ia sangat penting. Kanak-kanak lelaki dalam umur anak Puan mempunyai kecenderungan terhadap ayahnya. Ini bukan bermakna puan kurang penting sebagai seorang ibu, cumanya pada usia sebegini, mereka cepat belajar untuk menjadi seorang lelaki. Jadi, amat perlu untuk seorang bapa memberi perhatian secukupnya mulai peringkat ini.
Ketika umur begini, ayah mereka adalah seorang hero bagi kebanyakan daripada mereka. Jadi ia sangat penting untuk seorang ayah untuk membina hubungan yang rapat dengan mereka. Ayah juga perlu membantu dalam usaha ini.
Wassalam.
Biodata kolumnis
Beliau merupakan seorang Certified Professional Trainer (CPT) dan aktif dalam Toastmasters International. Puan Jamilah Samian mempunyai Ijazah Psikologi dari Upper Iowa University (USA), Ijazah Sains Komputer dan Matematik dari Indiana State University (USA) dan Diploma Penulisan dari London School of Journalism (UK). Beliau juga merupakan penulis buku 'Cool Mum Super Dad' dan 'Cool Boys Super Sons.'

 Jamilah Samian –  sumber: i luv islam.com

Tuesday, June 22, 2010

Tonton siri seram lahir anak kuat menangis

CHENNA 19 Jun - Wanita mengandung yang sering menonton siri seram di televisyen di sebelah malam didapati melahirkan anak yang kuat menangis, demikian menurut satu kajian.


Kajian Kolej Perubatan Madras di sini mendapati bayi yang dilahirkan oleh wanita mengandung yang suka menonton siri televsiyen Tamil seperti Chitty lebih kerap menangis.

"Terdapat perbezaan antara bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidur lewat menonton siri televisyen lewat malam berbanding dengan ibu mengandung yang tidur awal.

"Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidur lewat didapati sering menangis termasuk selepas diberi makan," kata Dr. S. Elango, bekas pengarah kesihatan awam dan pencegahan perubatan Tamil Nadu kepada Bernama.

Kajian khas ini dibuat di kalangan 3,500 wanita mengandung selama dua tahun mulai 2007 hingga 2009 di kawasan luar bandar di Tamil Naidu.

Ibu-ibu tersebut dipantau semasa mereka sedang mengandung manakala bayi mereka turut diperhatikan sehingga beberapa hari dilahirkan.

Kajian turut mendapati bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidak menonton televisyen lebih nyenyak tidur.

— BERNAMA

Marah, perkembangan kanak2 kawal diri

KANAK-KANAK tidak mampu menahan pergolakan emosi. Oleh itu, apabila dia marah, kecewa atau putus asa, dia akan meluahkannya dengan menangis, menjerit atau menghentak-hentak kaki.



Sebenarnya apa yang dilakukan kanak-kanak itu adalah sebahagian daripada perkembangannya untuk mengawal diri sendiri. Malah, mereka akan bersikap marah-marah (tantrums) ketika berusia antara setahun hingga tiga tahun, tetapi menjelang usia empat tahun, sikap mereka yang suka marah dan meradang akan berhenti dengan sendirinya.


Menurut Akademi Pediatrik Amerika, kanak-kanak dalam usia setahun hingga tiga tahun sebenarnya sibuk mempelajari pelbagai perkara mengenai dunianya. Dia juga sangat bersemangat untuk mengawal semua perkara.

Dia mahu berdikari dan melakukan semua perkara sendiri.

Dia juga ingin membuat pilihan sendiri dalam apa juga perkara dan mudah meradang

apabila ibu bapa menghalangnya. Sikapnya yang suka marah-marah itu mungkin satu daripada pelajaran yang susah untuk dipelajarinya.


Mengapa kanak-kanak mudah marah dan meradang


Dia keliru kerana tidak memahami sepenuhnya apa yang diminta atau dikatakan ibu bapa.


Dia mungkin kecewa orang lain tidak memahami apa yang dikatakannya.


Dia mungkin tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan perasaan dan keperluannya.

Selepas usianya tiga tahun, kebanyakan kanak-kanak boleh bercakap dengan betul.

Ini memudahkannya meluahkan apa yang dirasa.

Secara automatik, sikapnya yang suka marah-marah hilang begitu saja.

Bagaimanapun, kanak-kanak yang tidak berupaya bertutur dengan baik

masih suka meluahkan apa yang dirasanya.

Justeru, sikap yang suka marah akan berterusan.

Anak anda mungkin belum belajar menyelesaikan masalahnya sendiri dan mudah putus asa.


Mungkin dia mengalami kesakitan atau masalah fizikal lain yang menghalangnya meluahkan apa yang dia rasa.


Dia mungkin lapar, tetapi tidak mengetahuinya.


Dia mungkin letih dan tidak cukup tidur.


Dia mungkin rasa gelisah dan tidak selesa.


Dia mungkin berasa tertekan dengan perubahan di dalam atau persekitaran rumah.


Anak mungkin cemburu dengan adik beradik dan mahu lebih perhatian.

Dia mungkin tidak boleh melakukan apa yang dia impikan.


Bagaimana mencegah sikap marah anak?

Anda mungkin terkejut jika anak anda hanya akan bersikap marah-marah di hadapan anda saja. Dia sebenarnya menguji peraturan dan had yang anda gariskan untuknya.

Kanak-kanak akan lebih selamat bersikap demikian di hadapan orang yang dipercayainya.


Justeru, anda mungkin sukar mencegah sikapnya yang suka marah-marah tidak menentu itu, tetapi ada beberapa cadangan yang dapat membantu anda iaitu:


Galakkan anak menggunakan perkataan untuk memberitahu apa yang dia rasa.

Misalnya, ‘mama, abang marah’ atau ‘ibu, kakak marah’.

Cuba fahami perasaannya dan cadangkan perkataan lain yang menggambarkan perasaannya ketika itu.

Buat peraturan dan had yang munasabah.

Jangan berharap anak kecil akan menjadi sempurna.

Beritahu dia mengapa peraturan itu dibuat dan jangan mengubahnya sesuka hati.


Pastikan setiap perkara rutin berjalan dengan lancar dan anak akan tahu apa yang dia jangkakan.


Elak situasi yang boleh mengecewakan anak.


Elak menziarah atau membeli belah dalam masa yang panjang.

Dia mungkin marah kerana tidak boleh melakukan apa yang dia suka misalnya bermain atau membaca buku kesukaannya. Untuk perjalanan jauh, bawa patung atau buku kegemarannya.


Berhati-hati menyebut tidak.

Apabila anak mengatakan tidak untuk semua permintaannya, ia amat mengecewakan.

Oleh itu, dengar dengan baik apa yang dia mahu.

Jika permintaannya munasabah, tidak salah mengatakan boleh, tetapi jika ia membabitkan keselamatannya, jangan mengatakan boleh hanya untuk mengelak dia marah.


Biar anak membuat pilihan.

Contohnya jika dia malas mandi beritahu dengan jelas mengapa dia perlu mandi.

Jika anda biasa bertanya padanya, abang hendak mandi tak?

Cuba katakan begini, bangun pagi abang perlu mandi.

Abang hendak berjalan ke bilik mandi atau mama dukung abang?,”
Apa yang perlu anda buat jika anak marah-marah?

Cuba alihkan perhatiannya, misalnya membuat jenaka.

Bertenang dan jangan turut sama naik angin.

Bila dia marah, anda perlu berdiri berdekatan dengannya atau pegang dia tanpa bercakap sepatah pun hingga dia diam. Kalau anda tidak boleh bertenang, jauhkan diri darinya.

Bagaimanapun, kalau anak mula menendang atau menyepak anda, membaling barang, menjerit dan menangis dengan kuat dan berpanjangan, jauhkan dia dari punca kemarahannya. Beri dia masa untuk bertenang.

Bagi kanak-kanak yang sudah berusia lebih tiga tahun, dia akan tahu dengan sendirinya untuk bertenang. Kanak-kanak pada usia ini juga mudah diajak berbual dan berbincang mengapa dia tidak boleh menjerit-jerit dan marah dengan cara begitu.

Bagi kanak-kanak lebih kecil, tinggalkan dia jika anda tidak boleh bersabar. Dalam tempoh seminit dua, jengoklah semula kerana kadangkala akan tertidur atau berhenti menangis apabila tiada siapa sudi melayannya.

Jangan marah dia kerana dia akan memendam rasa marah dan kecewa dengan tindakan anda.
Related Posts with Thumbnails