Showing posts with label tips mendidik anak. Show all posts
Showing posts with label tips mendidik anak. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

Anak Degil Apa Ubatnya? (Bahagian 1)

Soalan:
Assalamualaikum Puan Jamilah, anak saya berumur enam tahun, sering tidak mendengar kata. Bukan sahaja bajunya selalu dilonggokkan di atas lantai, dia degil bila disuruh bersolat atau membuat kerja rumah, malah nak disuruh mandi sebelum magrib pun payah. Puas saya memarahinya tetapi tidak membuahkan hasil. Bagaimana caranya untuk mendidik anak yang sentiasa taat kepada ibu bapa? Minta pandangan Puan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumsalam wbt. Seringkali kedengaran ibubapa yang mengeluh kerana anak tidak mendengar kata. Disuruh pakai baju berkolar dia pilih kemeja leher bulat. Disuruh buat kerja rumah lepas magrib, dia enggan sebab itu waktu rancangan TV kegemarannya. Disuruh kemas bilik katanya dia senang barang-barangnya bersepah begitu sahaja.
Taat Biar Kena Pada Tempatnya
Cuba fikirkan sejenak. Benarkah kita mahu anak yang sentiasa taat seratus peratus?
Kajian menunjukkan sejumlah kes penderaan seks (sexual molestation) membabitkan kanak-kanak yang tidak tahu mengatakan "Jangan" atau "Tidak" pada pendera. Majoriti pendera seks dikenali oleh mangsa iaitu kanak-kanak terbabit. Ini bermakna, kanak-kanak ini dilatih dari kecil untuk patuh seratus peratus kepada orang yang lebih tua. Mereka tidak dididik untuk bersuara bila perlu dan bersikap asertif.
Sejarah membuktikan patuh membuta tuli parah akibatnya. Lihat sahaja kes Adolf Hitler yang berjaya memesongkan para pengikut yang taksub dengan kepemimpinannya. Kezaliman Adolf Hitler tidak mungkin berlaku tanpa adanya pengikut yang begitu ramai taat dan patuh kepada perintahnya.
Sifat degil ada baiknya jika kena pada tempatnya. Degil boleh bermakna tidak mudah terpengaruh dengan kawan yang cuba menjerat kita kepada tabiat yang tidak elok seperti merokok.
Sebenarnya yang kita mahu bukan anak yang taat seratus peratus. Yang kita mahu ialah:
§  Anak-anak yang bijak membezakan antara suruhan yang baik dengan perintah yang buruk
§  Anak-anak yang patuh kepada suruhan yang baik tetapi ingkar kepada perintah yang buruk
Yang Mana Lebih Penting?
Cuba senaraikan kesemua perkara yang anda tidak puas hati dengan anak anda.  Kemudian fikirkan yang mana patut menjadi prioriti. Contohnya:
Antara solat dengan kemeja berkolar. Yang mana lebih penting?
Antara kemas bilik dengan pandai mengambil hati adik. Yang mana lebih penting?
Ada kalanya kita terlalu banyak yang tidak puas hati dengan anak. Oleh itu kita lontarkan teguran demi teguran sepanjang hari. Meskipun niat kita baik, ingin mendidik anak sesempurna yang terdaya, akibatnya anak jadi keliru kerana terlalu banyak teguran dalam suatu tempoh masa tertentu. Jadi, pilih satu atau dua sahaja prioriti anda sekarang.
Pada pandangan saya, solat jauh lebih penting berbanding memakai baju berkolar.
Pandai mengambil hati adik lebih penting berbanding mengemas bilik.
Minta Penjelasan
Perhatikan perbualan berikut di antara Ayah dengan Isa (enam tahun). Isa berkongsi bilik dengan adiknya Azman (lima tahun) dan sering bertegang urat lebih-lebih lagi di waktu pagi.
Ayah: (dengan nada lembut) Isa, pagi tadi Ayah dengar adik menangis dalam bilik air. Apa yang berlaku?
Isa: (dahi berkerut) Isa marahkan dia. Susah sangat dia nak bangun, Ayah. Dia kata susah nak tidur sebab Isa asyik tendang dia malam tadi. Padahalnya dia yang tendang Isa berkali-kali.
Ayah: (tertawa kecil) Dah sah dua-dua anak Ayah.
Isa: (hairan) Kenapa Ayah?
Ayah: Dulu masa Isa kecil dan suka tidur dengan Ayah, Isa pun suka tendang Ayah larut malam! Nenek kata, ayah masa kecil dulu bila tidur memang ganas. Habis ditendang orang kiri kanan.
Latih Anak Berfikir Secara Rasional
Perhatikan:
§  Ayah menggunakan nada lembut jadi si anak tidak merasa tercabar. Ini penting supaya si anak boleh menjawab soalan dengan rasional bukan secara defensif dan emosional.
§  Ayah bertanya "Apa yang berlaku" dan bukan "kenapa" atau "mengapa". Kanak-kanak kecil sukar menjawab soalan "kenapa" dan "mengapa" dalam situasi begini kerana ianya seolah-olah mendesak mereka mencari alasan bagi perbuatan yang telah dilakukan. (Jawapan untuk "mengapa" mungkin: "Saya cemburu sebab Ayah lebih banyak luangkan masa dengan adik" atau "Saya geram sebab Adik pandai. Dia selalu dapat keputusan peperiksaan lebih cemerlang dari saya"!)
§  Bila Ayah bertanya "Apa yang berlaku?", si anak hanya perlu menceritakan fakta-fakta kejadian terbabit. Si Ayah seterusnya boleh membuat tanggapan dan rumusan sendiri.
§  Hasilnya, Isa tersedar dia sendiri melakukan perkara yang dia tuduh adiknya lakukan! Sejak saat ini, kes "siapa tendang siapa" tidak lagi menjadi isu dalam keluarga ini.
Bandingkan dengan:
Ayah: (nada meninggi) Apa bising-bising Ayah dengar pagi tadi?
Isa: Tapi Ayah ...
Ayah: Berapa kali Ayah dah kata jangan gaduh dengan adik. Isa ni degil benar, tak dengar cakap Ayah!
Di sini si anak langsung tidak diberi peluang untuk menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.
Antara Lembut Dan Tegas
Ini tidak bermakna kita perlu berlembut setiap masa dengan anak. Adakalanya kita perlu tegas.
Contoh:
Ibu menyuruh Din (lapan tahun) mengemas bilik. Ibu sediakan satu senarai perkara-perkara yang perlu dibuat oleh Din. Berikut senarai yang Ibu berikan pada Din:
·         Ambil baju kotor atas lantai, masukkan dalam bakul kain kotor
·         Susun buku atas meja
·         Kemas katil (lipat selimut, susun bantal)
·         Kutip mainan atas lantai, masukkan dalam bakul mainan
Sesetengah anak, terutama anak lelaki lebih mudah mengikuti senarai arahan sebegini kerana dua sebab:
1. Ia spesifik, jadi mereka tahu apa sebenarnya yang perlu dibuat.
2. Kata-kata "kemas bilik" kabur untuk sesetengah kanak-kanak.
Tegas Hanya Bila Perlu
Bagaimana jika anak enggan mengemas bilik meskipun anda sudah sediakan senarai sebegini?
Perhatikan komunikasi di bawah:
Ibu: (berdiri di pintu) Isa, Ibu lihat bilik ni belum dikemas lagi.
Isa: (bermain komputer) Alaa... nantilah Ibu.
Ibu: (tercegat di pintu dan bercakap dengan nada tegas) Isa, Ibu nak Isa kemaskan bilik ni sekarang.  (Ibu tidak beredar dan menunggu sehingga Isa mengemas biliknya.)
Dalam komunikasi di atas, perhatikan:
Nada suara Ibu tegas tetapi tidak menengking. Ibu tidak berleter tetapi menyatakan dengan jelas apa yang dia mahu Isa lakukan. Isa berhenti bermain komputer dan terus mengemas biliknya kerana dia terasa kurang enak bila menyedari Ibunya tidak akan beredar selagi dia tidak berbuat demikian.
Segalanya Lebih Mudah Jika Anda Mesra Dengan Anak
Rata-rata kanak-kanak tidak suka sengaja menyakiti hati ibu bapa. Malah, boleh dikatakan kesemua anak-anak ingin menyeronokkan hati ibu bapa. Ini memang naluri mereka sebagai anak. Jadi, bersangka baiklah dengan anak anda.  Sebenarnya, anak anda (tidak kira berapa umurnya) lebih mudah menerima pandangan dan nasihat yang anda berikan jika anda rapat dan mesra dengannya.
Jangan cepat melenting dan menggelar anak sebagai 'degil' atau 'malas' bila dia enggan mematuhi suruhan anda. Apa sahaja gelaran yang anda gunakan untuk anak anda sama ada buruk mahupun yang baik adalah doa yang boleh dimakbulkan Allah bila-bila masa sahaja.
Dari sudut psikologi pula, kanak-kanak cenderung bertindak sesuai dengan tanggapan kita. Ini bermakna, jika kita menganggapnya 'degil', dia akan cenderung untuk berperangai degil. Sebaliknya jka kita menganggapnya "malas", dia akan lebih cenderung bersikap "malas".

- Artikel iluvislam.com (penulis: jamilah samian)

Friday, December 17, 2010

Kaedah mendidik anak cemerlang



Dalam mendidik anak-anak sebenarnya tiada formula khusus yang boleh diikuti atau diterapkan kerana setiap anak adalah makhluk yang luar biasa dan unik dan berbeza-beza antara satu sama lain.

Ilmu mendidik anak adalah satu ilmu kemahiran yang perlu dimiliki oleh ibu bapa sebagaimana perlunya mereka memiliki ilmu kemahiran rumah tangga, kewangan, teknikal dan agama.

Rasulullah S.A.W. telah menggariskan empat tahap mendidik anak iaitu:

Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.

Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.

Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat.Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.


1. Kaedah Pesanan dan Arahan.

Pesanan dan arahan merupakan salah satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah S. A. W. Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :

• Mengenai solat di awal waktu
• Adab dengan orang tua-tua
• Adab dengan guru
• Adab dengan kawan-kawan
• Tugas harian di rumah
• Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
• Tatacara makan mengikut sunnah nabi
• Cara belajar yang berkesan
• Ingat sentiasa menutup aurat apabila keluar dari rumah
• Keselamatan jalan raya
• Tanggungjawab melindungi adik-adik.




2. Kaedah Bercerita

Kaedah bercerita menguatkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa terutamanya kisah-kisah teladan daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung melalui pemahamam minda bawah sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut, mengerat dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, anak-anak boleh menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.

3. Kaedah Soal jawab

Bersoal jawab dengan anak akan menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.

Ibu bapa hendaklah berusaha menjawab semua persoalan. Seandainya ibu bapa tidak tahu atau tidak pasti jawapan kepada soalan anak, jangan teragak-agak atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa hendaklah memberi penjelasan atau jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh anak daripada orang yang mahir dalam bidangnya.

Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anka yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.




4. Kaedah Merujuk Pengalaman Lalu


Pengalaman yang positif boleh dijadikan teladan, pengalaman yang negatif boleh dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat. Ini kerana pengalamna ini amat mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan dan mudah pula dijadikan iktibaroleh anak-anak. Pengalaman anak-anak itu juga penting. Kaitkan apa perlunya mereka berwaspada dengan peristiwa pahit yang telah mereka alami atau peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.


5. Kaedah Nasihat dan Teguran


Berilah nasihat dan teguran kepada anak-anak dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan.

Ketika mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk.


6. Kaedah Bermain dan Bergurau


Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.


Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.

Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.


7. Kaedah Latihan yang Berterusan





Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah latihan boleh dibahagikan kepada beberapa ciri diantaranya :-

a) JantinaIbu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya seperti tuga yang berat dan kasar diagihkan kepada anak lelaki manakala anak perempuan kepada kerja-kerja dalaman yang lebih ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun tidak salah jika anak lelaki diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh orang perempuan seperti membasuh pakaian sendiri, menyidai pakaian, melipat pakaian, memasak, membasuh pinggan dan sebagainya.

b) UsiaPengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.

Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.

Sumber rujukan: majalah Wanita November 2005

Thursday, November 18, 2010

petua Membiasakan Anak 'Hidup Bersama' Al-Quran

Setiap orang tua pasti menginginkan buah hatinya menjadi anak yang soleh dan solehah.
Anak soleh-solehah merupakan harta yang paling berharga bagi orang tua.
Untuk mendapatkan semua itu, tentu harus ada kesungguhan yang tinggi dari orang tua dalam mendidik anak.
Salah satu yang wajib diajarkan kepada anak adalah segala hal tentang al-Quran kerana ia adalah pedoman hidup manusia.
Rasulullah SAW pernah bersabda (yang ertinya):
Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: mencintai Nabimu; mencintai ahlul baitnya; dan membaca al-Quran kerana orang-orang yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singahsana Allah pada hari ketika tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya; mereka beserta para nabi-Nya dan orang-orang suci.  - HR ath-Thabrani
Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada jalan yang lebih lurus dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.  - QS al-Isra' (17: 9)
Bila al-Quran sebaiknya diajarkan pada anak? Tentu seawal mungkin.
Semakin awal semakin baik. Akan sangat bagus jika sejak anak dalam kandungan seolah-olah calon anak kita itu sudah terbiasa 'hidup bersama' al-Quran; yakni ketika si ibu yang mengandungnya, rajin membaca al-Quran.
7M Agar Anak Selalu Hidup Bersama al-Quran
01.Mengenalkan
Saat yang paling tepat mengenalkan al-Quran adalah ketika anak sudah mulai tertarik dengan buku. Sayang,
banyak orang tua yang lebih suka menyimpan al-Quran di rak almari paling atas.
Sesekali perlihatkanlah al-Quran kepada anak sebelum mereka mengenal buku-buku lain, apalagi buku dengan gambar-gambar yang lebih menarik.
Mengenalkan al-Quran juga boleh dilakukan dengan mengenalkan terlebih dulu huruf-huruf hijaiyah; bukan mengajarinya membaca, tetapi sekadar memperlihatkannya sebelum anak mengenal A, B, C, D.
Tempelkan gambar-gambar tersebut di tempat yang sering dilihat anak; lengkapi dengan gambar dan warna yang menarik.
Dengan sering melihat, anak akan terpancing untuk bertanya lebih lanjut.
Saat itulah kita boleh memperkenalkan huruf-huruf al-Quran.
02.Memperdengarkan
Memperdengarkan ayat-ayat al-Quran boleh dilakukan secara langsung atau dengan memainkan kaset atau CD.
Kalau ada teori yang mengatakan bahwa mendengarkan muzik klasik pada janin dalam kandungan akan meningkatkan kecerdasan, insyaAllah memperdengarkan al-Quran akan jauh lebih baik pengaruhnya bagi bayi.
Apalagi jika ibunya yang membacanya sendiri. Ketika membaca al-Quran, suasana hati dan fikiran ibu akan menjadi lebih khusyuk dan tenang.
Kondisi seperti ini akan sangat membantu perkembangan psikologi janin yang ada dalam kandungan.
Ini kerana, secara teori kondisi psikologi ibu tentu akan sangat berpengaruh pada perkembangan bayi, khususnya perkembangan psikologinya.
Kondisi tertekan pada ibu tentu akan berpengaruh buruk pada kandungannya. Memperdengarkan al-Quran boleh dilakukan bila-bila sahaja dan di mana sahaja; juga tidak mengenal batas usia anak.
Untuk anak-anak yang belum boleh berbicara, insyaAllah lantunan ayat al-Quran itu akan terakam dalam memorinya.
Jangan pelik kalau tiba-tiba si kecil lancar melafazkan surah al-Fatihah, misalnya, begitu dia boleh berbicara.
Untuk anak yang lebih besar, memperdengarkan ayat-ayat al-Quran (surah-surah pendek) kepadanya terbukti memudahkan si anak menghafalkannya.
03.Menghafalkan
Menghafalkan al-Quran boleh dimulai sejak anak lancar berbicara.
Mulailah dengan surah atau ayat yang pendek atau potongan ayat (misalnya fastabiq al-khayrât, hudan li an-nâs, birr al-walidayn, dan sebagainya).
Menghafal boleh dilakukan dengan cara seringkali membacakan ayat-ayat tersebut kepada anak. Jadi latihlah anak untuk menirunya.
Hal ini dilakukan berulang-ulang sampai anak hafal di luar kepala. Masa kanak-kanak adalah masa meniru dan memiliki daya ingat yang luar biasa.
orang tua harus menggunakan kesempatan ini dengan baik jika tidak ingin menyesal kehilangan masa emas (golden age) pada anak.
Supaya anak lebih mudah mengingat, ayat yang sedang dihafal anak boleh juga sering dibaca ketika ayah menjadi imam atau ketika naik kereta dalam perjalanan.
Disamping anak tidak mudah lupa, hal itu juga sebagai usaha membiasakan diri untuk mengisi kesibukan dengan amalan yang bermanfaat.
Nabi SAW bersabda: Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, sesungguhnya hafalan al-Quran itu lebih cepat lepasnya daripada seekor unta pada tambatannya. - HR al-Bukhari dan Muslim
04.Membaca
Siapa saja yang membaca satu huruf dari Kitab Allah maka dia akan mendapat satu kebaikan.
Satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali lipat.
Aku tidak mengatakan bahawa alif-lam-mim adalah satu huruf. Akan tetapi, alif adalah satu huruf, lam satu huruf, dan mim juga satu huruf. (HR at-Tirmidzi).
Sungguh luar biasa pahala dan kebaikan yang dijanjikan kepada siapa saja yang biasa membaca al-Quran.
Bimbing dan doronglah anak agar terbiasa membaca al-Quran setiap hari walau cuma beberapa ayat.
orang tua penting memberikan contoh.
Jadikanlah membaca al-Quran, terutamanya pada pagi hari usai solat subuh atau usai solat maghrib, sebagai kegiatan rutin dalam keluarga.
Ajaklah anak-anak yang belum boleh membaca untuk bersama-sama mendengar abang-kakaknya yang sedang membaca al-Quran.
orang tua mempunyai kewajipan untuk mengajarkan kaedah-kaedah dan adab membaca al-Quran.
Untuk boleh membaca al-Quran, termasuk mengetahui kaedah-kaedahnya, sekarang ini tidaklah sulit.
Telah banyak metode yang ditawarkan untuk boleh mudah dan cepat membaca.
Ada metode Iqra, Qiroati dan sebagainya.
Metode-metode itu telah terbukti memudahkan ribuan anak-anak bahkan orang tua untuk mahir membaca al-Quran.
Alangkah baiknya membaca al-Quran ini dilakukan secara bersama-sama oleh anak-anak di bawah bimbingan orang tua.
Ketika seorang anak membaca, yang lain menyemaknya.
Jika anak salah membaca, yang lain boleh membetulkan.
Dengan cara itu, rumah akan selalu dipenuhi dengan bacaan al-Quran sehingga berkat.
05.Menulis
Belajar menulis akan mempermudah anak dalam belajar membaca al-Quran. Ajarkan kepada anak kata-kata tertentu yang mempunyai makna.
Dengan begitu, selain anak boleh menulis, sekaligus anak belajar bahasa Arab.
Mulailah dengan kata-kata pendek.
Misalnya, untuk mengenalkan tiga kata alif, ba, dan dal anak diminta menulis a, ba da (tolong tuliskan Arabnya, ya: a-ba-da) ertinya diam; ba-da-a (yang ini juga) ertinya mulai; dan sebagainya.
Sesekali di rumah, cuba adakan lumba menulis ayat al-Quran.
Berilah hadiah untuk anak yang paling kemas menulis. Jika anak memiliki kemampuan yang lebih dalam menulis huruf al-Quran, mereka boleh diajari lebih lanjut dengan mempelajari seni kaligrafi.
Rangkaian huruf menjadi sukukata yang mengandungi erti bertujuan untuk melatih anak dalam memperkaya kosakata, di samping memberikan kesempatan bagi mereka untuk bertanya tentang setiap kata yang diucapkan serta mengembangkan cita rasa seni mereka.
Jadi, tidak hanya bertujuan mengenalkan huruf al-Quran semata-mata.

06.Mengkaji
Ajaklah anak mula mempelajari isi al-Quran. Ayah boleh memimpinnya setelah solat maghrib atau subuh.
Paling tidak, seminggu sekali pelajaran sekeluarga ini dilakukan.
Tajuk yang diketengahkan boleh jadi tajuk-tajuk yang ingin disampaikan berkaitan dengan perkembangan perilaku anak selama satu minggu atau beberapa hari.
Kajian bersama, dengan merujuk pada satu atau dua ayat al-Quran ini, sekaligus dapat menjadi sarana tawsiyah untuk seluruh anggota keluarga.
Pada waktu yang sama, tajuk yang akan dikaji boleh diserahkan kepada anak-anak.
Adakalanya anak diminta untuk memimpin kajian.
orang tua boleh memberi arahan atau pembetulan jika ada hal-hal yang kurang tepat.
Cara ini sekaligus untuk melatih keberanian anak menyampaikan isi al-Quran.
07.Mengamalkan dan memperjuangkan
Al-Quran tentu bukan hanya untuk dibaca, dihafal dan dikaji.
Justeru yang paling penting adalah diamalkan seluruh isinya dan diperjuangkan agar benar-benar dapat menyinari kehidupan manusia.
Sampaikan kepada anak tentang kewajiban mengamalkan serta memperjuangkan al-Quran dan pahala yang akan diraihnya. InsyaAllah, hal ini akan memotivasikan anak.
Kepada anak juga boleh diceritakan tentang bagaimana para Sahabat dulu yang sangat teguh berpegang pada al-Quran; ceritakan pula bagaimana mereka bersama Rasulullah sepanjang hidupnya berjuang agar al-Quran tegak dalam kehidupan.
Sumber: i luv islam.com
coretan bertenaga dari aznur with luv....
Related Posts with Thumbnails